Tuesday 18 January 2011

Konsep pelancongan

December 2004
Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu
tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan.
Bab 1
Pengenalan kepada Pelancongan
Pengenalan
Bab ini mendedahkan definisi pelancongan daripada pelbagai perspektif. Berdasarkan
definisi-definisi yang diketengahkan, maksud pelancongan dibincangkan secara
menyeluruh serta mendalam supaya pengertiannya dapat difahami dengan jelas. Hasil
perbincangan berkenaan definisi pelancongan, bab ini seterusnya membincangkan
jenis-jenis pelancong yang wujud dalam industri itu. Jenis-jenis pelancong penting
kerana mereka adalah pihak utama yang berperanan dalam menentukan kejayaan
sesebuah industri pelancongan.
Akhir sekali bab ini membincangkan sektor-sektor serta aktiviti-aktiviti yang terlibat
dalam industri pelancongan. Perlu ditekankan industri pelancongan terdiri daripada
pelbagai sektor yang mempunyai aktiviti tersendiri. Oleh itu, sebagai satu pengenalan
kepada pelancongan, adalah perlu sektor-sektor dan aktiviti-aktiviti yang terlibat
didedahkan kepada semua pihak yang ingin memahami maksud pelancongan.
Apa Itu Pelancongan?
Pelancongan mempunyai pelbagai maksud mengikut perspektif dan pandangan pihak-
pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri
pelancongan. Ini termasuklah pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan
pengangkutan, organisasi pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya lagi.
Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu
tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari
(1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu kajian manusia yang
bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang
bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan
industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang
meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang
dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam
membangunkan industri ini.
Oleh itu, wujud definisi lain yang cuba memberi penjelasan secara mendalam
mengenai pelancongan. Sebagai contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan
sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang
luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan
persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri
pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara
bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.”
Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian
yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri
pelancongan secara khususnya. Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran, manusia,
kawasan, ekonomi dan dinamik.
Memandangkan pelancongan itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza mengikut perspektif
atau school of thought masing-masing, sehingga kini masih wujud pelbagai definisi
pelancongan. Istilah pelancongan menurut WTO atau World Tourism Organization
merujuk kepada, “Aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar
daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi
tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya.” Definisi WTO ini secara langsung
membawa kepada pengertian apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan
antarabangsa, pelancongan dalaman, pelancongan domestik dan pelancongan
kebangsaan (lihat Rajah 1.1). Pelancongan antarabangsa melibatkan dua aspek
pelancongan iaitu:
1. Melancong dalam negara: Merujuk kepada lawatan atau pengembaraan ke destinasi
tuan rumah yang dibuat oleh individu yang berasal dari destinasi lain. Sebagai contoh,
Malaysia sebagai tuan rumah menerima kunjungan daripada pelancong Eropah.
Pelancong Eropah yang datang ke Malaysia dikenali sebagai pelancong dalam negara.
2. Melancong luar negara: Merujuk kepada lawatan atau pengembaraan seseorang
individu ke destinasi selain dari tempat asal mereka. Contohnya, pelancong Malaysia
yang melancong ke Australia dan New Zealand adalah pelancong luar negara.
Pelancongan dalaman pula merujuk kepada lawatan atau pengembaraan seseorang
individu ke destinasi yang sama dalam kawasan destinasi asal mereka. Contohnya,
rakyat negeri Kedah yang berasal dari Alor Setar membuat lawatan ke Pulau
Langkawi, juga terletak dalam negeri Kedah. Pelancongan domestik merujuk kepada
pelancongan dalaman dan dalam negara. Contohnya, sebagai rakyat negeri Perak, kita
menerima kunjungan dan lawatan rakyat negeri Melaka. Pelancong Melaka itu
dikenali sebagai pelancong domestik.
Oleh itu, pemasaran pelancongan yang perlu ditekan di sini adalah kemudahan
penginapan dan tempat tarikan di negeri Perak. Manakala pelancongan kebangsaan
pula merujuk kepada pelancongan dalaman dan luar negara. Sebagai contoh,
kunjungan kita sebagai rakyat negeri Perak ke negeri Melaka. Pemasaran pelancongan
yang perlu ditekan di sini adalah kemudahan pengangkutan dan agensi pengembaraan.
Wujudnya pelbagai pemahaman dan pengertian pelancongan akhirnya membawa
kepada kekaburan definisi pelancongan itu sendiri. Malah, sehingga kini, masih ramai
yang cuba mengetengahkan definisi mengikut pandangan masing-masing.
Suatu definisi lengkap yang sudah dan masih diguna pakai dalam memahami erti
pelancongan sebenar dibariskan oleh McIntosh dan rakan-rakan (1995). Menurut
mereka, “Pelancongan adalah suatu fenomena dan hubungan yang wujud akibat
daripada interaksi di antara pelancong, ahli perniagaan, kerajaan dan komuniti selaku
tuan rumah dalam proses menarik pelancong dan pelawat asing.” Secara tidak
langsung, definisi ini menjelaskan pelancongan adalah lawatan atau pengembaraan ke
suatu tempat lain dalam tempoh semalam, bertujuan berhibur, berehat, berniaga dan
sebagainya. Malah, definisi ini juga menekankan wujudnya empat elemen utama
dalam pengertian pelancongan iaitu:
1. Pelancong: Mereka yang keluar ke suatu destinasi lain bagi beberapa tujuan.
2. Perniagaan: Mereka yang terlibat dengan membekalkan barangan ataupun perkhidmatan dalam industri pelancongan di samping memenuhi permintaan pelancong.
3. Kerajaan: Mereka yang terlibat dalam memenuhi ekonomi sama ada berbentuk
pendapatan tuan rumah ataupun pendapatan hasil daripada kedatangan pelancong.
4. Tuan rumah: Mereka yang terlibat secara langsung dengan destinasi terpilih di
samping menjaga budaya masyarakat destinasi itu.
Jelas di sini apabila memperkatakan pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan
adalah kewujudan pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan
pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Dalam erti kata
lain, keempat-empat elemen itu perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri
pelancongan. Apabila seseorang individu itu melancong, bermakna mereka adalah
pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan.
Melancong ke destinasi yang ekonominya dikawal oleh kerajaan secara tidak
langsung pelancong juga mewujudkan hubungan dengan tuan rumah selaku komuniti
destinasi itu.
Jenis-jenis Pelancong
Jenis-jenis pelancong wujud akibat daripada pengertian yang luas mengenai
pelancongan itu sendiri. Secara khususnya, jenis-jenis pelancong atau dikenali sebagai
tipologi pelancong dibincangkan secara mendalam dalam bab seterusnya. Walau
bagaimanapun, bab ini membincangkan tipologi pelancong secara amnya di mana
pelancong itu dilihat lebih sebagai pelawat atau pengembara (lihat Rajah 1.2).
Dalam pelancongan, individu yang terlibat dikategorikan kepada dua iaitu penduduk
setempat dan pelawat. Apabila kedua-duanya mengembara, wujudlah istilah
pengembara. Pengembara pula dapat dilihat dalam dua aspek iaitu mereka yang
mengembara dalam skop pelancongan dan mereka yang mengembara bertujuan
memenuhi aktiviti lain. Mengikut perspektif pelancongan, mereka yang mengembara
dalam skop pelancongan dikenali sebagai pelancong.
Dalam masa yang sama sekiranya mereka mengembara dan kembali semula ke tempat
asal mereka tanpa menginap atau dengan kata lain pergi-balik pada hari yang sama,
mereka ini dikenali sebagai pelawat harian atau excursionists. Biasanya mereka ini
melibatkan pelancongan dalaman dan bukannya pelancongan antarabangsa. Bagi
mereka yang mengembara bertujuan memenuhi aktiviti lain, pelancong-pelancong ini
mungkin terdiri daripada pelajar, pekerja sementara dan juga pendatang bergantung
kepada tujuan lawatan itu.
Pelancong biasanya melancong ke suatu destinasi bertujuan memenuhi beberapa
aktiviti antaranya tujuan perniagaan, melawat kawan dan keluarga atau serta berhibur.
Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong
dalam industri pelancongan. WTO dan Travel and Tourism Research Organization
juga mempunyai tipologi pelancong masing-masing (lihat Rajah 1.3). Jenis-jenis
pelancong lain di mana kategori mereka ditentukan oleh faktor motivasi akan

No comments:

Post a Comment